Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Followers

EBiz Gold Windows

Wednesday, April 6, 2011

Pegawai kastam maut di pejabat SPRM


Oleh Norfatimah Ahmad, Nor Azizah Mokhtar, Safeek Affendy Razali dan Shah Che Ahmad
bhnews@bharian.com.my
2011/04/07

KUALA LUMPUR: Pegawai kastam yang ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan semalam, datang ke pejabat itu di Jalan Cochrane secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang dibongkar baru-baru ini.

Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang memegang jawatan Penolong Pengarah cawangan import eksport dan kawalan sempadan KDRM Selangor, datang ke pejabat SPRM bersendirian menunggang motosikal.
SPRM juga mengesahkan Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan 1 April lalu pada jam 1 tengah hari di pejabat kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dan dibawa ke SPRM Wilayah Persekutuan untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan 2 April pada jam 12.30 tengah hari.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali dalam sidang medianya, berkata Ahmad Sarbani dikatakan datang pada jam 8.26 pagi semalam, untuk berjumpa pegawai penyiasat SPRM yang menjalankan siasatan untuk berbincang sesuatu berhubung perkara itu.

Oleh kerana pegawai penyiasat terbabit sedang bermesyuarat, beliau menunggu di lobi bangunan sehingga jam 9.30 pagi sebelum datang seorang pegawai lain untuk mengiringi Allahyarham ke sebuah bilik ‘pantry’ di tingkat tiga.

Katanya, kira-kira 45 minit selepas itu, pegawai yang mengiringinya meninggalkan Ahmad Sarbani sebentar untuk mendapatkan pegawai penyiasat yang ingin ditemui Allahyarham.

“Apabila pegawai pengiring terbabit masuk semula ke bilik rehat, beliau dapati pegawai kastam itu sudah tiada dalam bilik. Selepas mencari di sekitar kawasan pejabat, seorang pegawai kami terlihat satu tubuh manusia atas lantai di tingkat satu,” katanya.
Beliau berkata, SPRM kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum menghubungi keluarga dan majikan mangsa.

Siasatan terhadap Allahyarham dijalankan selepas 62 pegawai kastam ditahan dan disoal siasat menerusi Operasi 3B kerana dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain, baru-baru ini. Penahanan membabitkan 53 pegawai lelaki serta sembilan perempuan berusia antara 24 dan 56 tahun dan daripada jumlah itu, seramai 17 pegawai termasuk seorang berjawatan pengarah ditahan reman.

Selepas operasi itu, sejumlah RM602 juta wang yang terbabit dalam pengubahan haram dibekukan, RM382 juta harta disita, manakala RM31.2 juta lagi dilucutkan hak. Siasatan menemui simpanan dalam akaun bank sehingga hampir setengah juta, RM850,000 dalam akaun amanah saham dan kereta mewah.

Sementara itu, menurut sumber, ada beberapa saksi melihat Ahmad Sarbani berlari ke arah tingkap di tingkat tiga sebelum jatuh ke tingkat satu yang dikatakan digunakan sebagai gelanggang badminton. Mangsa cedera parah pada muka dan kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Sumber turut berkata, Allahyarham datang ke pejabat SPRM untuk menukar kenyataannya kepada SPRM sebelum ini serta mendapatkan tandatangan pengesahan pada borang yang menyatakan beliau dibebaskan dengan jaminan.

Lagi berita kes Sarbani, dapatkan akhbar Berita Harian, hari ini

1 comment:

Elly said...

setelah membaca beberapa belog mengenai allahyarham, pada pandangan saya, arwah bukan pembunuh diri.

alfatihah untuk arwah....
takziah kepada keluarga allahyarham